Baikonur Cosmodrome
SOYUZ FG, roket generasi baru yang diperkenalkan sejak 2001 sudah membuktikan kewibawaannya sebagai jentera yang paling boleh dipercayai untuk membawa kapal angkasa Soyuz, temasuk varian terkini jenis TMA ke Stesen Angkasa Antarabangsa ISS. Tidak banyak negara yang mempunyai teknologi roket, kecuali Russia, Eropah dan Amerika Syarikat. Selain kos tinggi, kesukaran merumuskan campuran oksigen cecair dan kerosen mengekalkan negara berkenaan dalam liga tersendiri sebagai peneraju angkasa lepas. Keupayaan Russia membangunkan roket dan kapal angkasa seperti Soyuz TMA, menyebabkan pelbagai negara di dunia masih mendapatkan bantuan kepakaran negara itu untuk merealisasikan misi mereka ke angkasa lepas.
Hakikatnya, roket dan kapal angkasa memerlukan lokasi sesuai untuk dijadikan tapak pelancaran. Bagi Russia yang mewarisi teknologi angkasa lepas dari Soviet Union, Baikonur Cosmodrome, sebuah kawasan di Baikonur, Kazakhstan menjadi lokasi utama untuk pelancaran roket setiap tiga bulan sekali.
Baikonur Cosmodrome dipilih sebagai lokasi kerana kedudukannya yang sesuai untuk pelancaran roket. Trajektori atau laluan khas roket memerlukan ia dihalakan ke timur sebelum menembusi atmosfera bumi dan memasuki angkasa lepas. Selain itu, tempat terbabit dipilih kerana ia tidak berawan, kawasan di bawahnya gurun yang luas. Justeru, jika roket menghadapi masalah dan pelancaran perlu dibatalkan, tiada rakyat yang akan menjadi mangsa.
Sebelum ini, Baikonur Cosmodrome dikenali sebagai Tyuratam, kini menjadi tapak pelancaran angkasa lepas terbesar dan tertua di dunia. Kedudukannya kira-kira 200 kilometer (km) ke Timur Laut Aral di tebing utara Sungai Darya. Ia dipajak Russia dari Kazakhstan hingga 2050 dan kini dikendalikan Agensi Angkasa Russia (Roskosmos).
Tapak Pelancar roket
Tapak pelancaran roket ini pada asalnya dibina Soviet Union, sebagai sebahagian daripada projek angkasa lepas negara itu. Di sinilah letaknya tempat pelancaran roket pertama Russia, Sputnik dan satu daripada tapak pelancaran dikenali Gagarin's Start sempena nama angkasawan pertama dunia, Yuri Gagarin.
Baikonur Cosmodrome diasaskan pada 2 Jun 1955. Asalnya ia dibina sebagai pusat pelancaran roket jarak jauh dan kemudian dikembangkan kepada program angkasa lepas. Sergei Korolev yang juga pereka roket pertama Russia memilih kawasan itu kerana kesesuaiannya. Ketokohan Korolev kemudian diabadikan pada nama sebuah bandar, iaitu Korolev, kira-kira 40 km dari Moscow iaitu tempat letaknya Pusat Kawalan Misi (MCC), lokasi penting yang memantau perjalanan ISS.

Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan Malaysia Pertama, Sheikh Muszapahar Shukor ke ISS (Stesen Angkasa Antarabangsa)
Perbelanjaan membina Baikonur Cosmodrome membabitkan tapak pelancaran dan laluan kereta api beratus kilometer menjadikannya projek mega dan membabitkan perbelanjaan kewangan yang banyak Soviet ketika itu. Banyak pelancaran bersejarah dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome. Antaranya satelit droid pertama Sputnik 1 pada 4 Oktober 1957, perjalanan angkasawan pertama dunia, Yuri Gagarin dalam Vostok pada 1961 dan penerbangan angkasa oleh wanita pertama dunia, Valentina Tereshkova pada 1963. Sehingga kini, ia juga menjadi tempat pelancaran angkasawan pertama daripada pelbagai negara dunia, termasuk dari Malaysia.
Berikutan kehancuran Soviet Union pada 1991, Roskosmos terus beroperasi dari Baikonur Cosmodrome. Pada 1995, bandar di luar Cosmodrome yang sebelum ini dikenali Leninsk ditukar nama kepada Baikonur. Di bandar inilah letaknya Hotel Cosmonaut, tempat penginapan angkasawan sebelum berlepas ke ISS. Laporan tidak rasmi juga menyatakan setiap angkasawan perlu kencing di tayar kereta pada senja sebelum hari pelancaran sebagai tanda kenangan sebelum meninggalkan bumi.
Kazakhstan, antara negara Komanwel Merdeka (CIS) dari Soviwt Union, sebenarnya selalu bertelagah dengan Russia kerana kedudukan Cosmodrome dalam negaranya. Untuk memasuki Cosmodrome, pelawat perlukan visa Russia biarpun ia berada di tengah-tengah Kazakhstan.
Hingga kini Baikonur Cosmodrome dilengkapkan dengan kemudahan pelancaran roket dan kapal angkasa, sama ada dengan manusia atau tanpa manusia. Cosmodrome boleh melancarkan kapal angkasa dan roket jenis Soyuz, Proton, Tsyklon, Dnepr dan Zenit. Ketika malapetaka berlaku kepada kapal angkasa Columbia milik Amerika Syarikat pada 2003, Baikonur Cosmodrome menjadi galang ganti untuk kelangsungan dan ikhtiar hidup mereka yang berada di ISS kerana semua pelancaran dilakukan dari lokasi itu.
Pada 10 Oktober lalu, suasana di Baikonur agak berbeza kerana pelancaran kali ini membabitkan krew antarabangsa, iaitu dari Malaysia dan Amerika Syarikat. Publisiti yang diberikan membuatkan penduduk tempatan juga berhimpun di luar pagar Cosmodrome untuk melihat sendiri pelancaran itu.
Tepat pada detik umat Islam berbuka puasa di Kazakhstan, nyalaan bebola api besar merah yang mengiringi pelancaran roket mula bergerak menujah ke angkasa yang terbuka luas. Nampak macam perlahan walaupun sebenarnya jentera seberat 8,000 kilogram itu sedang bergerak pada kelajuan 8 km sesaat.
Selama lapan minit roket kelihatan ketika membuat lengkungan untuk menembusi atmosfera, Soyuz sudah membuat perjalanan lebih 700 km. Dalam tempoh itu ia sudah mengeluarkan tiga tujahan yang mana pada setiap kali dilepaskan mengeluarkan nyalaan yang berbeza-beza. Sebaik dilancarkan ia berbentuk bebola api jingga terang, diikuti jujuran panjang nyalaan kelabu pada tahap kedua dan persembahan paling mengujakan ialah pada tahap ketiga apabila api roket berkembang seperti payung. Selepas tahap itu, krew yang berada dalam Soyuz TMA menunggu dua hari lagi untuk sampai ke ISS.
FAKTA: Baikonur Cosmodrome
- Tapak pelancaran roket angkasa lepas tertua dan terbesar dunia.
- Pembinaan disiapkan pada 1955.
- Asalnya dibina sebagai tapak pelancaran rahsia peluru berpandu Soviet Union pada 1950-an dan 1960-an.
- Satelit pertama dihantar ke angkasa lepas, Sputnik pada 1957 dan angkasawan pertama, Yuri Gagarin pada 1961.
- Seluas 6,750 km persegi (75 km dari utara ke selatan, 90 km timur ke barat).
- Russia membayar AS$115 juta (RM379.5 juta) setahun sebagai yuran pajakan, kepada Kazakhstan.










0 Comments:
Post a Comment